Sunday 18 August 2013

Roti Canai Recipe


 ROTI CANAI RECIPE 


Pengenalan

Roti Canai Recipe atau roti jenis leper yang berbentuk bulat ini, merupakan satu makanan kegemaran di Malaysia. Ia dimakan sebagai makanan pagi, tengahari, petang, dan malam. Roti Canai sering kali dimakan bersama dengan teh tarik atau teh ais. Roti Canai biasanya dihidangkan dengan kuah dal, parpu atau kari dengan sambal ikan bilis. Roti Canai dikenali sebagai roti pratha di India dan Singapura. Rupa roti pratha dengan Roti Canai adalah hampir sama dan bentuknya masih lagi bulat.

Penggunaan perkataan canai dalam bahasa Melayu di belakang roti adalah hasil dari tingkahlaku pencanai roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti. Ada juga menyatakan perkataan canai di belakang roti ini adalah berasal dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, yakni "Channal". Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakkan berasal dari sana pada ketika kebanjiran orang India di Malaysia.

Roti Canai Recipe pada asalnya merupakan makanan kegemaran kaum India. Pada masa kini, Roti Canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak kerana telah diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Roti Canai adalah makanan tradisional kaum India di Malaysia dan biasanya dijual di restoran-restoran mamak. Makanan ini kini sangat disukai bukan sahaja kaum India tetapi pelbagai jenis kaum di Malaysia.

Di samping itu, Roti Canai merupakan sejenis roti nipis yang diperbuat daripada tepung. Kini, pembuat Roti Canai telah mengadakan inovasi pada ramuan roti tersebut sehingga terdapat pelbagai jenis Roti Canai yang berbeza dengan menepati keseleraan masing-masing. Antaranya ialah roti canai, roti telur, roti tisu, roti sardin, roti bawang, roti pisang, roti boom dan lain-lain. Roti Canai biasanya disaji bersama dengan sambal cili, sambal ikan bilis, kari ikan atau kari ayam.

Variasi Roti Canai

Roti Canai mempunyai pelbagai jenis variasi yang telah diubahsuai dan dimodifikasi dengan kreativiti tempatan untuk mempelbagaikan perisa yang mempunyai banyak pilihan. Roti Canai dengan pelbagai jenis rasa dan bentuk dapat menarik perhatian orang ramai.

a) Roti Telur - dicampurkan dengan telur selepas doh roti ditebarkan.

b) Roti Sardin - dicampurkan dengan sardin dalam tin bersama sos tomato dan diletak bawang yang didadukan.

c) Roti Telur Bawang - dicampurkan dengan telur bersama penggunaan bawang merah yang banyak.

d) Roti Pisang - dicampurkan dengan pisang yang telah dilenyek.

e) Roti Bom (Roti Boom) - jenis roti canai yang dibuat bentuknya kecil dan lebih tebal dari roti canai. Adunan doh dan cara penebaran dan canai, adalah sama dengan roti canai.

f) Roti Planta - dicampurkan dengan marjerin yang banyak. Penggunaan nama Planta di belakang kerana ia adalah satu jenama marjerin yang popular di Malaysia, kerana penggunaanya oleh orang Malaysia.

g) Roti Petak, atau roti canai sebenarnya, penggunaan nama ini bukan secara umum, penggunaan ini digunakan segelintir oleh orang Malaysia kerana mahu roti canai yang baru dibuat dan dimasak. Kebanyakkan roti canai (berbentuk bulat), telah siap dimasak awal-awal dan akan dipanaskan semula semasa dipesan.

h) Roti Banjir, adalah roti canai yang telah dipotong kecil-kecil, dan dicampurkan kuah dal atau kuah kari yang banyak. Sambal akan diletak sedikit.

ROTI CANAI RECIPE


Bahan-Bahan untuk Roti Canai Recipe
(Sesuai untuk 5-6 orang)

1 kg tepung gandum

1 sudu besar gula

1 sudu besar garam

2 sudu besar susu pekat

1 biji telur

1 ½ cawan air

1 sudu besar mentega/ marjerin

Cara-Cara untuk Membuat Roti Canai Recipe

1) Campurkan susu, garam, gula, telur ke dalam air di dalam bekas. Kacau sehingga semua bahan larut.

2) Masukkan tepung dan uli sehingga lembut dan lengan terasa mengecil 2 inci dari saiz asal.

3) Menguli sehingga menjadi doh, rehatkan doh selama 10 min.

4) Uli lagi selama 6 minit -8 minit (Ulangi langkah ini sebanyak 3 kali –uli dan rehatkan doh).

 

5) Sehingga doh menjadi kenyal dan tidak melekat. Jangan risau kalau proses pertama terasa doh melekat di tangan. Kalau ianya masih lembik lagi selepas kali kedua uli dan rehat, tambahlah sedikit tepung (1 sudu besar).

6) Bentukkan doh tersebut menjadi bebola kepada 20 biji dan salut dengan mentega atau marjerin. Perap selama 3 jam atau lebih.

7) Ambil 4 biji, nipiskan sebesar piring, ketepikan selama 5 min untuk menggelakkan mengecut semasa ditebar.

8) Ambil satu keping yang telah dinipiskan dan diperap, bolehlah ditebar atau ditarik untuk mengelakkan koyak. Tangan mesti sentiasa berminyak, apabila doh cukup nipis, renjiskan banyak sikit minyak dan lipat. Kalau kurang minyak, doh mudah kering dan mudah terkotak di tengah-tengah.

9) Panaskan pan dengan api sederhana. Letakkan sedikit minyak dan masak sehingga perang sambil terbalikkan roti.

10) Doh Roti Canai ini boleh disimpan dalam peti ais sehingga 2 hari.

Tips: Jangan uli doh tersebut sehingga menjadi terlalu kenyal kerana akan menyebabkan roti susah nak ditebar dan keras.

Roti Canai diperkenalkan oleh pedagang-pedangan rempah yang datang dari Chennai, India pada tahun 1923. Kini bukan saja orang India suka makan Roti Canai, malah Melayu, Cina dan masyarakat bumiputera Malaysia yang lain juga suka makan Roti Canai yang sedap dan enak. Ini menunjukkan penerapan kebudayaan etnik India dalam Malaysia dan mampu membentuk satu kebudayaan Negara yang unik dan istimewa.

Roti Canai Recipe adalah sesuai untuk dimakan oleh orang ramai dari semua lapisan masyarakat tidak kira umur dan jantina. Roti Canai amat disukai dan digemari oleh pelbagai kaum etnik sebab keunikan dan keistimewaan dapat menarik perhatian mereka. Selain itu, cara-cara untuk menebar Roti Canai juga memerlukan kemahiran dan teknik-teknik yang baik supaya dapat menghasilkan bentuk yang bulat dan cantik.